Jagalah Iman.. dari perkara yang merosakkannya

ssalamualaikum…

Syawal sudah berlalu.. Ramadhan telah meninggalkan kita.. entah akan sampaikah kita pada Ramadhan… akan sampaikah kita semula pada Syawal yang akan datang… atau tidak..? mungkin jawapannya Ya.. Mungkin juga jawapannya tidak… namun bukanlah kita yang menentukannya…

Masihkah terasa kesyahduan Takbir dan Tahmid dipagi Raya Aidilfitri.. yang alunannya sesekali menusuk kalbu.. sesekali terasa meremang bulu roma.. betapa terasa dalamnya.. kalimah Tahmid dan Takbir membesarkan Allah..

Merenung kembali kedalam diri pada detik dan ketika ini… masihkan kita dengan kesyahduan Tahmid dan Takbir kepada Allah.. seketika di pagi dan malam selepas Maghrib di akhir Ramadhan… atau kini kita kembali kepada Ragam Dunia yang telah melupai nikmat Ramadhan dan kemenangan selepas Berpuasa..

Seketika.. renunglah  bagaimanakah saat dan detik  ketika kita menerima Janji Allah… saat manusia berada dialam Barzah.. apakah amalan hari ini dapat melepasi semua persoalan Mungkar dan Nakir…. apakah amalan pada hari ini.. sehingga saat ini dapat menyelamatkan diri ini dari siksaan Azab Qubur… apakah amalan… perbuatan… perlakuan… gerak hati ini… dapat menyelamatkan diri dari sengsaranya padang mahsyar.. apakah juga amalan-amalan kebaikan.. pada hari ini.. ke saat ini dapat menolong diri ini ketika berada di titian Siratul Mustaqim….

Allah Berfirman dalam Surah Sajadah Ayat 13:

Ertinya:.

“dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): “Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang Dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: ` Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka jahannam Dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)”.

(Terjemahan Al Quran : 32: Ayat 13)

membawa maksud sekiranya manusia terkadang-kadang berperasaan bahawa setiap kesalahan yang mereka lakukan di atas muka bumi Allah ini mungkin akan diampunkan Allah tanpa mereka perlu memohon taubat.. sedangkan Allah s.w.t. mengkehendaki mereka supaya bertaubat diatas setiap kesalahan mereka.. dengan usaha mereka… berdasarkan Firman Allah s.w.t. diatas yang bermaksud “……..nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: `……… (terjemahan Al Quran Surah Sajadah:32:13)

Persoalan menjaga Iman….Rasulullah s.a.w. Bersabda dalam satu hadis:

Ertinya:

“Dari Sufian bin Abdullah r.a., katanya: Aku berkata kepada Rasulullah s.a.w.: “Ya Rasulullah,  ajarkanlah daku mengenai agama Islam satu ajaran yang tak payah aku bertanya orang lain mengenainya”; Rasulullah s.a.w., bersabda: “Tegaskanlah dengan lidahmu akan kepercayaanmu kepada “Uluhiyyah” dan “Rububiyyah” Allah,  kemudian terus sempurnakanlah apa yang dikehendaki oleh kepercayaanmu itu hingga ke akhir hayatmu.” (Muslim)

(Hadis Mastika Hadis: Jakim: Jld 1:bil 13)

Jagalah Iman sehingga ke hujung nyawa.. sekiranya kita mengikuti ajaran Islam dengan lidah, perbuatan dan dengan hati yang mendalam kecintaan kepada Allah.. yakin tentang Sifat KetuhananNYA.. dan Yakin tentang Alam ini adalah CiptaanNYA… kata Rasulullah “sempurnakanlah ia sehingga ke Akhir hayatmu”.. bererti biarlah keimanan ini sentiasa didalam diri.. atau keislaman ini sentiasa dengan hati yang yakin kepada Allah Taala…

di dalam Kitab Mastika Hadis:Jakim: jld 1. menyebutkan :

Perkara-perkara yang menyebabkan rosaknya Iman dan Islam itu terbahagi kepada tiga bahagian.

Bahagian yang pertama:

(1) I’tiqad kepercayaan yang bertentangan dengan dasar-dasar Islam,  I’tiqad bahawa alam ini qadim, tidak ada penciptanya, atau alam ini kekal selama-lamanya.

(2) I’tiqad bahawa pencipta alam ini baharu, atau menyerupai mana-mana jenis makhluk atau bersifat dengan sifat-sifat baharu, atau pun mempunyai anak isteri,  atau berbilang-bilang atau menerima mati.

(3) I’tiqad menafikan kebenaran apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w., atau i’tiqad bahawa Nabi Muhammad yang sebenar ialah yang disebutnya Muhammad yang batin bukan Muhammad yang zahir,  atau i!tiqad bahawa kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. , hanya untuk orang-orang Arab sahaja, atau i’tiqad bahawa hukum-hukum Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.  ialah hukum-hukum lapuk yang tidak sesuai dengan keadaan zaman,  atau i’tiqad mengingkari mana-mana Rasul Tuhan,  atau i’tiqad bahawa ada lagi Nabi dan Rasul yang lain yang diutus oleh Allah membawa syariat sesudah Nabi Muhammad s.a.w., Khatam an-Nabiyyin.

(4) – I’tiqad bahawa tidak ada dosa dan pahala,  tidak ada Syurga dan Neraka,  tidak ada bangkit hidup semula sesudah mati,  tidak ada hari qiamat dan segala perkara yang berlaku padanya.

(5) I’tiqad bahawa roh orang-orang mati berpindah-pindah dari satu tubuh ke satu tubuh yang lain.

(6) I’tiqad agama kafir lebih baik dari agama Islam.

(7) Perasaan ragu-ragu terhadap mana-mana satu dari perkara-perkara yang tersebut di atas.

(8) Berbalik-balik hati di antara hendak menjadi kafir atau tidak, atau bercita-cita hendak menjadi kafir pada masa yang akan datang.

Bahagian yang kedua:

Perkataan, iaitu tiap-tiap perkataan yang mencaci,  menghina,  merendah-rendah, mengejek-ngejek dan mempermain-mainkan nama Allah,  sifat-sifat-Nya, Malaikat-malaikat-Nya, Rasul-rasul-Nya, Kitab-kitab-Nya, Ayat-ayat-Nya dan Hukum-hukum-Nya serta hukum-hukum yang diterangkan oleh Rasul-Nya.

Dan juga perkataan yang menolak,  menafi dan mengingkari segala perkara yang sekata alim ulama menthabitkannya atau menafikannya serta diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu dari agama.

Misalnya seperti katanya mengenai mana-mana hukum Islam:

  1. “Hukum apa ini?”
  2. “Hukum ini sudah lapuk.”
  3. “Zaman sekarang tak patut diharamkan riba kerana menghalangi kemajuan.”
  4. “Dalam zaman yang serba maju ini kaum wanita tak perlu dibungkus-bungkus.”
  5. “Berzina kalau suka sama suka apalah haramnya?”
  6. “Minum arak kalau dengan tujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadat apa salahnya?”
  7. “Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untung ruginya apa salahnya?”
  8. “Kalau hendak sangat menurut hukum-hukum Islam sampai qiamat kita tak maju. “
  9. Berkata:  “Perbuatan yang demikian tidak beradab” – apabila diceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w., selepas makan:  Menjilat sisa makanan di jarinya.
  10. Berkata:  “Aku tak mahu memotong kuku sekalipun sunat” – apabila diberitahu bahawa memotong kuku adalah sunat.
  11. (11) Berkata: “Si anu dah mula menyalak” – semasa ia mendengar azannya.
  12. (12) Membaca ayat-ayat suci,  hadis-hadis Nabi dan nama-nama Tuhan dengan cara mempersenda dan mempermain-mainkannya.
  13. (13) Kata-kata mengkafirkan seseorang Islam, pada hal orang itu tidak diyakini ada padanya sesuatu sebab yang menjadikannya kafir, sebagaimana yang diterangkan oleh hadis Ibn Umar yang diriwayatkan oleh Muslim.
  14. (14) Kata-kata menggantungkan jadi kafir dengan sesuatu keadaan.

Misalnya:-

(a) Seseorang dituduh melakukan sesuatu perkara, lalu ia berkata: “Kalau aku lakukan perkara itu jadilah aku kafir”, sekiranya ia berdusta, yakni ia sebenarnya telah melakukan perkara yang dituduhkan kepadanya itu, maka jadilah ia kafir, kecuali kata-kata itu dituturkan dengan tujuan hanya hendak melepaskan diri dari tuduhan itu sahaja, bukan dengan tujuan redhanya menjadi kafir.

Sungguhpun demikian ia telah melakukan dosa besar dengan kata-kata yang tersebut, dan sekiranya ia benar,  yakni ia tidak melakukan perkara yang dituduh orang kepadanya, maka tidaklah ia menjadi kafir, tetapi ia berdosa kerana perkatannya itu memberi erti ketiadaan tetap keazamannya berpegang teguh kepada agama Islam.

(b) Seseorang diingatkan supaya jangan ia berzina umpamanya, lalu ia berkata: “Kalau aku berzina kafirlah aku”, sekiranya kata-kata itu dituturkan dengan tujuan tidak redha mencemarkan dirinya dengan perbuatan zina seperti tidak redhanya menjerumuskan dirinya menjadi kafir, maka tidaklah ia menjadi kafir, tetapi ia berdosa dengan menggunakan perkataannya itu dengan alasan yang tersebut; dan sekiranya kata-kata itu dituturkan dengan tujuan redha menjadi kafir kalau ia lakukan perbuatan zina maka jadilah ia kafir dengan kata-katanya yang tersebut, kerana apabila seseorang Islam redhakan kufur,  menjadilah ia kafir (Murtad), Wal Iyazubillah. Hukum yang tersebut terkandung dalam hadis Thabit bin al-Dhahak, yang diriwayatkan oleh Muslim dan Ibn Majah.

Bahagian yang ketiga:

Perbuatan, iaitu:

(1) Tiap-tiap perbuatan yang dilakukan untuk menghormati dan mengagungkan mana-mana makhluk dengan cara yang ditentukan hanya untuk membesar dan mengagungkan Allah, seperti sujud kepada makhluk walau pun tidak dengan niat untuk menghormatinya sama seperti Tuhan,  atau tunduk kepada mana-mana makhluk sehingga sampai had sekurang-kurangnya ruku’ sembahyang dengan tujuan menghormatinya seperti menghormati Allah; kalau tidak dengan tujuan itu maka tidaklah menjadikan orang yang melakukan itu murtad,  tetapi hukumannya tetap haram.

(2) Melakukan upacara ibadat terhadap sesuatu makhluk yang disembah oleh orang-orang kafir menurut upacara yang mereka lakukan.

(3) Melakukan mana-mana cara ibadat terhadap yang lain dari Allah Azza wa Jalla.

(4) Meletakkan ayat-ayat suci,  hadis-hadis Nabi,  nama-nama Tuhan, Rasul-rasul-Nya, Malaikat-Nya dan Ilmu-ilmu agama di tempat najis atau kotor dengan tujuan menghina dan merendah-rendahkannya; kalau tidak dengan tujuan yang tersebut maka hukumannya tetap haram.  Demikian juga haramnya menggunakan kertas-kertas yang tertulis padanya Ayat-ayat suci, Hadis-hadis Nabi dan Nama-nama Allah serta ilmu agama untuk membungkus, mengesat serta menyapu sesuatu; tetapi kalau perbuatan yang dilakukan itu dengan tujuan menghina atau mempersenda-sendakannya maka orang yang melakukan itu menjadi murtad.

(5) Meninggalkan sembahyang.

  • Orang yang meninggalkan sembahyang fardu,  jika ia ingkarkan wajibnya, jadilah ia kafir murtad keluar dari agama Islam,  kerana ia mengingkari satu perkara yang memang diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu adalah satu perkara yang wajib di atas tiap-tiap orang Islam, selama akalnya sihat.
  • Kalau ditinggalkan dengan sebab malas sahaja, pada hal ia i’tiqadkan wajibnya, maka mengenai orang ini alim ulama berselisih kepada tiga pendapat:

Pertama – Orang itu tidak menjadi kafir, tetapi ia menjadi fasik yang wajib atas pihak yang berkuasa bertindak menyuruhnya berbuat kembali mengerjakan sembahyang, dan sekiranya ia tidak mahu bertaubat maka kenalah dilakukan ke atasnya “Hukuman Had” iaitu dibunuh dengan pedang.

Kedua – Orang itu jadi kafir juga, sama dengan keadaan orang yang mengingkari wajibnya.

Ketiga – Orang itu tidak menjadi kafir dan tidak pula dibunuh, tapi di “Ta’zir” dengan dipenjarakan sehingga ia mengerjakan sembahyang.

Ketiga-tiga pendapat yang tersebut serta alasan-alasannya diterangkan oleh al-Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim, mengenai hadis Jabir yang menyatakan keburukan orang yang meninggalkan sembahyang yang termaklum.

Perkara-perkara yang diterangkan satu-persatu di atas itu adalah sebahagian dari misal-misal yang disebutkan oleh alim ulama bahawa orang yang melakukannya menjadi murtad. Mereka menetapkan hukuman yang tersebut dengan berdasarkan: Ayat 40 Surah Yusuf,  ayat 65 Surah al-Taubah, Ayat 37 Surah Fussilat dan ayat-ayat Surah al-Kafirun serta hadis Mu’az bin Jabal yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, dan hadis Qais bin Sa’ad yang diriwayatkan oleh Abu Daud.  Maksud kedua-dua hadis itu: Bahawa Rasulullah s.a.w., melarang mereka sujud kepada Baginda s.a.w., serta menerangkan bahawa tidak harus seseorang sujud kepada yang lain dari Allah.

Dengan keterangan yang tersebut hendaklah diingat bahawa seseorang yang cintakan keselamatan dirinya dan agamanya, jangan sekali-kali mendekati, apa lagi melakukan, sebarang perkara yang hukumnya berkisar di antara jadi murtad dan berdosa besar.  Semoga Allah selamatkan kita dengan taufik dan hidayat-Nya.

Sumber:

  • Mastika Hadis: Jakim:Jld 1
  • Al Quran Tafsir Pimpinan Ar Rahman: Jakim

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s