Kempen tanpa Seluar Dalam (No Panties)

VALENTINES DAYS.

Keratan Akhbar Metro Ahad-14-2-10-ms22-

Assalamualaikum.. hari ini saya ingin mengulas sedikit tentang fenomena yang semakin menular di kalangan remaja bukan setakat remaja yang berada di perkampungan, di bandar-bandar besar.. malahan remaja yang merupakan penuntut IPT (Bukan Semua IPT) yang akan keluar dari IPT dan mereka ini bakal menggantikan Generasi Sekarang. Mereka ini (Remaja) yang menjadi nadi dan tulang belakang negara.. mempunyai pengetahuan, boleh berfikiran secara Rasional, malahan lebih Pro Aktif dari golongan yang berpendidikan setakat pertengahan sahaja..

Bagaimana timbulnya Idea mereka untuk tidak memakai seluar dalam di kalangan wanita.. pada hari yang begitu bermakna buat mereka (14.2.2010) sedangkan mereka sebenarnya telah terlalu jauh tersasar dari landasan Islam, biarpun ada di kalangannya bukan beragama Islam namun menurut akhbar berkenaan penuntut Melayu Islam juga turut serta ingin menyertainya..

Bagaimana perkara ini boleh diterima golongan terpelajar seperti mereka.. mungkin bagi mereka (yang terlibat)  tidak  keterlaluan sangat hanya tidak berseluar dalam, tetapi apakah motif dan tujuan perbuatan mereka itu.. inilah persoalannya..terasa agak menjengkelkan, apabila berbicara tentang seluar dalam.. tetapi inilah hakikatnya kerana Remaja kita sekarang suka terikut-ikut dengan perkara-perkara yang agak menggembirakan.. menyeronokkan hati dan perasaan mereka.. ditambahi dengan perkara yang sedikit mendorong ke arah nafsu kerana begitulah keinginan nafsu sentiasa mendorong manusia melampaui apa sahaja perbuatan..

tidakkah timbul sifat malu di dalam diri mereka.. sifat malu yang sentiasa dapat mengawal manusia dari keterlaluan, namun apabila hilangnya sifat malu ini.. mungkin inilah hasilnya..

Benarlah dalam hadis Rasulullah s.a.w : ‏‏‏

Ertinya : “Daripada Abu Hurairah r.a. diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: Iman terdiri daripada lebih dari tujuh puluh bahagian dan malu adalah salah satu dari bahagian-bahagian iman”

(Terjemahan Hadis Sahih Muslim: Bab Iman: 50)

Apabila sifat malu ini tiada maka sebahagian nilai-nilai keimanan telah hilang…

Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis yang lain:

Ertinya: ” Dari Salim bin Abdillah dari ayahnya ia berkata, Nabi melalui di hadapan Ansar yang sedang mencela saudaranya kerana saudaranya Pemalu, maka Rasullullah s.a.w. bersabda, Biarkanlah ia kerana kerana Malu itu sebahagian daripada iman.”

(Kitab Fathul Baari Jld. 1: Kitab Iman: Bab 16)

Jelas dari hadis ini memberitahu kepada kita sifat malu juga adalah sebahagian dari cabang keimanan, yang dengan sifat malu ini juga secara semulajadinya dapat membawa kita menghindari atau menjauhi dari perbuatan Maksiat.

Ar Raghib Berkata “Malu adalah menahan diri dari perbuatan buruk” Sifat tersebut adalah merupakan  salah satu ciri khusus manusia yang dapat mencegah dari perbuatan yang memalukan dan  membezakannya dari binatang sifat tersebut merupakan gabungan sifat takut dan Iffah (Menjaga kesucian Diri). (Ibnu Hajar Al Asqalani: Fathul Baari:130)

Bilakah pula ingin kita masukkan keimanan ke dalam diri kita?, setelah kita meningkat sedikit dewasa, sekarang biar mencari pengalaman supaya boleh bercerita kepada anak cucu kita.. inilah dia atuk…nenek.. begini.. begini … begini.. apakah kita hanya  menunggu satu hari yang akan Allah beri hidayah supaya kita kembali kepadanya tanpa kita cuba mencarinya..

Sabda Rasulullah s.a.w.:

Hadis Abu Zar r.a:
“Suatu Hari Nabi s.a.w bersabda: Tahukah kamu ke mana matahari ini pergi? Para sahabat menjawab: Allah dan RasulNyalah yang lebih mengetahui. Lantas Rasulullah s.a.w bersabda: Perjalanan matahari ini berakhir di suatu tempat yang telah ditetapkan di bawah Arasy, lalu merebahkan diri untuk bersujud. Ia tetap berada dalam keadaan tersebut, sehinggalah diperintahkan kepadanya: Bangunlah dan kembalilah ke tempat mana kamu datang. Matahari kemudiannya kembali sehinggalah ia terbit dan beredar sebagaimana biasa. Matahari terus beredar lagi sehingga sampai di suatu tempat yang ditetapkan di bawah Arasy lalu merebahkan lagi dirinya untuk bersujud. Ia juga tetap berada dalam keadaan demikian sehinggalah diperintahkan kepadanya: Bangunlah dan kembalilah ke tempat mana kamu datang. Matahari kembali lagi sehinggalah ia terbit dan beredar sebagaimana biasa tanpa diketahui oleh manusia dan berakhir pada tempat yang telah ditetapkan di bawah Arasy, lalu bersujud dan tetap dalam keadaan demikian, sehinggalah akhirnya diperintahkan kepadanya: Bangunlah dan terbitlah dari sebelah barat. Rasulullah s.a.w terus bersabda: Tahukah kamu bilakah ianya akan berlaku? Ianya akan berlaku ketika mana لَا يَنْفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِنْ قَبْلُ أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْرًا Yang bermaksud: Tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelumnya atau tidak berusaha melakukan kebaikan terhadap imannya”

(Sahih muslim: kitab Iman Bab Zaman Iman Tidak Lagi Diterima: 228)

Apakah kita masih menunggu sehingga hari yang telah ditentukan keimana kita tidak lagi berguna, kerana kita tidak berusaha untuk mencarinya..

Kembalilah kepangkal jalan disaat jalan itu masih terbuka untuk kita melaluinya.. janganlah bila jalan itu sudah terlalu berkabut, atau gelap gelita barulah kita berusaha mencarinya sedangkan waktu itu kita tiada walau sekedip cahaya buat peneman dalam kegelapan…

Saya paparkan ARTIKEL SAMBUTAN HARI VALENTINES DAY dari JAKIM

Sambutan Hari Kekasih Salah Di Sisi Islam oleh Mohd Hariri bin Haji Mohamad Daud (Panel Penulis Luar Jakim), Majalah Cahaya keluaran Februari 2009.

Sambutan Hari Kekasih Salah Di Sisi Islam

Oleh Mohd Hariri Bin Haji Mohamad Daud, (Panel Penulis Luar Jakim), Majalah Cahaya keluaran Februari 2009.

Tarikh 14 Februari setiap tahun menjadi tarikh yang ditunggu-tunggu oleh pasangan bercinta sebagai hari untuk memperingati dan meluahkan cinta sejati kononnya kepada pasangan masing-masing. Amalan songsang seperti ini sudah menjadi taqwim tahunan remaja dan semestinya penganut agama Kristian. Lantas, remaja Islam di Malaysia diseru agar tidak terpengaruh dan meraikan sambutan Hari Kekasih (Valentine Day) yang disambut pada 14 Februari ini. Sudah jelas bahawa sambutan Hari Kekasih ini salah di sisi agama Islam dan bercanggah dengan aqidah Islam itu sendiri.

Perbuatan untuk meraikan sambutan Hari Kekasih amat bercanggah dengan syara’ kerana ianya mempunyai unsur kepercayaan agama kristian dan menjurus kepada kebobrokkan akhlak. Selain itu, sambutan yang tidak berfaedah ini dirai dengan penuh adegan maksiat seperti berdua-duaan, berpeleseran hatta membawa kepada perbuatan seks bebas. Hari yang dianggap “hari berbulan madu” bagi remaja sehingga mereka sanggup menggadaikan maruah demi membuktikan cinta mereka kepada kekasih masing-masing. Sesungguhnya budaya meniru budaya barat yang terpesong dan mencampurkan perkara aqidah mengikut kepercayaan agama lain adalah salah di sisi Islam.

Dalam erti lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agama Islam dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Surah Al-Kafirun ayat 1-6 )

Nabi SAW dengan tegas telah melarang kita daripada meniru budaya Yahudi dan Nasrani dalam hadis yang bermaksud, “Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani ) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk ke dalam lubang biawak. Lantaran sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka.”

Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah menyatakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006 pada 21 Februari 2006 telah memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam”.

Para mufti di Malaysia juga telah bersepakat untuk memutuskan bahawa amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam seperti yang dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 yang lalu.

Melalui sejarah Valentine, jelas ianya dapat disabitkan dengan budaya Kristian yang menyatakan Valentine’s Day bermula dari kematian tragis seorang Paderi yang bernama St. Valentine yang dibunuh oleh seorang Raja Romawi yang bernama Raja Claudius pada II (268-270M ).

Bermula dari kisah ini mereka telah mengabdikan St. Valentine sebagai seorang tokoh yang hebat dalam mempertahankan cinta dan dianggap sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup. Maka, 14 Februari dijadikan sebagai hari perlambangan dalam memperingati kematian St.Valentine dan dianggap sebagai upacara keagamaan masyarakat Kristian.

Justeru, Islam menyeru seluruh umat Islam khususnya remaja-remaja Islam agar tidak meraikan sambutan Hari Kekasih dan menghindari perkara-perkara yang boleh membawa kepada sikap untuk meraikannya. Berikut adalah sikap-sikap yang perlu dihindari oleh remaja Islam pada Hari Kekasih :

1- Sikap untuk keluar berfoya-foya sesama kekasih dan mengadakan majlis untuk menyambut hari tersebut dengan mengadakan parti atau majlis seumpamanya.

2- Menghantar kad-kad ucapan yang tertera kata-kata Valentine Day dan pada kad-kad tersebut terdapat gambar pari-pari yang mempunyai dua sayap yang menjadi simbol kepercayaan agama kristian.

3- Menulis ucapan kata-kata cinta di dalam kad yang diutuskan dengan menyatakan keinginan cinta kepada kekasih kerana ianya juga sikap mempamerkan rasa gembira dan percaya akan hari tersebut.

4- Kebanyakan negara-negara Barat, parti-parti diadakan sempena hari tersebut disambut dengan pesta seks dan tari-menari. Kebanyakan mereka menghantar hadiah-hadiah seperti bunga ros dan sekotak coklat kepada sesiapa yang mereka cintai.

5- Menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada kekasih untuk meluahkan rasa sayang bersempena dengan Hari memperingati kekasih (Valentine Day) sebagai tanda percaya akan “keajaiban” hari tersebut.

Namun, segelintir pihak sanggup menaja majlis sambutan Hari Kekasih dan menjual barang-barang cenderahati untuk mempengaruhi remaja memperingati hari tersebut sehingga mengheret ke lembah makisat. Ironinya, remaja menganggap sambutan ini sebagai simbol kecintaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada pasangan. Islam melarang umatnya berlebih-lebihan dalam bercinta sehinggakan sanggup menyerahkan maruah kepada pasangan yang dicintainya.

Sesungguhnya perbuatan ini juga bercanggah dengan syara’ kerana ianya juga menyumbang berlakunya perkara maksiat dan zina. Firman-Nya:“ Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang membawa kepada kerosakan.” 9Surah Al-Isra’ ;32)

Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting untuk mengawasi anak-anak mereka agar tidak meraikan hari tersebut dan melalukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Selain itu, pihak pentadbiran sekolah dan institusi pengajian tinggi juga agar lebih proaktif untuk memastikan tidak wujud program sambutan kepada hari tersebut serta aktiviti bertukar-tukar bunga ros, kad-kad ucapan dan sebagainya.

Secara kesimpulannya, Islam memberi garis panduan yang jelas dan membenarkan hubungan kasih sayang sesama manusia dalam kerangka syariat. Hubungan kasih sayang kepada ibu bapa, sahabat dan sesama masyarakat boleh dilakukan setiap hari dan tujuh golongan manusia yang akan mendapat lindungan `Arasy ialah salah satunya mereka yang berkasih sayang ( bertemu dan berpisah ) kerana Allah SWT.

Firman Allah SWT : ‘Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal.’ Surah al-Ghaafir: 39

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s