Kisah ketika menghadapi kematian.

Assalamualaikum..

Ingin saya membawa saudara-saudari dan diri saya sendiri (khasnya) ke satu kisah yang telah di khabarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w kepada kita, bagaimanakah keadaan kita saat  menghadapi hari terakhir di muka bumi Allah ini, menuju ke negeri kekal Abadi, Akhirat. Walaupun terkadang berdegup kuat nafas ini membicarakan soal ini, namun hakikatnya kita terpaksa memandu diri kita dengan kisah sebegini supaya diri kita tidak tersasar jauh, atau sekurang-kurangnya kita kembali atau tersedar sekiranya tersilap arah.

Alam Barzakh memang amat ditakuti oleh manusia yang percaya akan adanya siksaan dari Allah, adanya nikmat dan kesenangan oleh Allah Taala, Di luaskan seluas mata memandang, di berikan sebuah taman dari taman-taman Syurga, harapan Kepada yang beramal soleh dan melakukan segala-galanya mengharapkan keampunan dan rahmat dari Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.Bagaimanakah Malaikat mencabut dan memperlakukan Roh orang-orang Mu’min, bagaimana pula Roh orang-orang yang di murkai Allah Taala di cabut dari Jasadnya

Kita memohon perlindungan dariNya pula tentang Kedahsyatan Alam Barzakh, Ular yang setia menanti sesiapa yang tidak solat, kubur yang sedang menanti untuk menghimpit sesiapa sahaja yang dikehendaki Allah. (Nau’zu billah min Zalik) dan berbagai lagi bentuk siksaan  yang sering kita dengari atau kita cuba jauhkan apabila mendengar seseorang mengkisahkan tentang  di alam barzakh. Walaupun perkara ini di luar jangkaun kotak pemikran manusia, namun mempercayai perkara  “Ghaibiyat dan Sami’yat” adalah merupakan suatu kewajipan bagi umat Islam, seperti mempercayai Malaikat dan seumpamanya.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda dalam satu hadis yang panjang:

Ertinya:

“Dari Al-Bara’ bin Azib r.a. katanya: Kami telah keluar bersama-sama Nabi mengiringi jenazah seorang lelaki dari kaum Ansar, lalu kami sampai ke kuburnya yang disediakan. Rasulullah s.a.w. pun duduk lalu kami duduk di sekelilingnya dengan keadaan tidak bergerak dan membisu; manakala Baginda s.a.w. pula mencucuk-cucuk tanah dengan seranting kayu yang ada di tangannya. Setelah itu Baginda s.a.w. mengangkat kepalanya lalu bersabda: “Mintalah kamu perlindungan kepada Allah dari azab kubur”, (diulanginya sabdanya itu) dua atau tiga kali; kemudian Baginda s.a.w. bersabda lagi: “Sesungguhnya hamba Allah yang mukmin (ketika hendak mati) apabila ia berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat akan turunlah kepadanya Malaikat-malaikat dari langit,  putih bersih muka mereka, seolah-oleh matahari dengan membawa kain kapan bersama mereka dari kain-kain kapan syurga dan Hanut(1) dari yang ada di syurga,  sehingga mereka duduk jarak daripadanya sejauh mata memandang.

Kemudian datang Malakulmaut a.s. lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya dengan berkata:  “Wahai jiwa yang baik keluarlah (dan pada satu riwayat ada disebutkan: Orang yang hendak mati dihadiri – saat naza’nya – oleh Malaikat, maka sekiranya orang itu seorang yang salih, berkatalah Malaikat:”Keluarlah engkau ..) menuju ke tempat keampunan dan keredhaan Allah. ” Baginda s.a.w. bersabda lagi: “Kemudian roh orang itu keluar – mengalir seperti mengalirnya setitik air dari mulut bekas air (yang terbuat dari kulit kambing), lalu Malakulmaut mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya di tangan Malakulmaut walau sekelip mata sekalipun lalu mereka mengambilnya kemudian meletakkanya di dalam kain kapan dan Hanut yang tersebut; dan keluar pula dari roh itu bau yang harumnya seperti seharum-harum kasturi yang terdapat di atas muka bumi.” Baginda s.a.w., bersabda lagi: “Kemudian mereka membawanya naik ke langit,  maka mereka tidak melalui (semasa membawanya) mana-mana kumpulan Malaikat melainkan kumpulan Malaikat itu berkata:  `Roh yang baik ini roh siapa?” Mereka menjawab:  “Roh Si anu anak si anu” (dengan menyebutkan sebaik-baik namanya yang biasa mereka menamakannya dengan nama-nama itu di dunia), (demikianlah halnya) sehingga berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang Pertama; setelah itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya, lalu dibukakan pintu untuk- mereka; kemudian Malaikat-malaikat yang berkedudukan istimewa di sisi Tuhan dari penduduk tiap-tiap langit menghantar roh itu ? beramai-ramai hingga ke langit yang berikutnya, sehinggalah mereka berhenti membawanya di langit yang ketujuh. Setelah itu Allah `Azza wa Jalla berfirman kepada Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu) “Simpanlah suratan amal hambaKu ini dalam `illiyyin (tempat simpanan surat amal orang-orang yang berbakti) dan bawalah dia balik ke bumi, kerana sesungguhnya Aku telah menciptakan manusia dari bumi, dan ke bumi juga Aku kembalikan mereka serta dari bumi pula Aku keluarkan mereka sekali.

Baginda s.a.w. bersabda “Dan sesungguhnya orang yang kafir (ketika hendak mati) apabila ia berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat, akan turunlah kepadanya Malaikat-malaikat dari langit, hitam muka mereka dengan membawa kain-kain kasar seperti kain kadut; lalu mereka duduk jarak daripadanya sejauh mata memandang. Kemudian datang Malakulmaut lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya dengan berkata: “Hai jiwa yang jahat.  Keluarlah (dan pada satu riwayat disebutkan: Maka apa bila orang itu orang jahat,  berkatalah Malaikat: “Keluarlah engkau …) menuju ke tempat kebencian dan kemurkaan Allah.” Baginda s.a.w., bersabda lagi: “Kemudian roh orang itu berselerak di merata jasadnya (kerana takut hendak keluar), lalu disentap rohnya itu oleh Malakulmaut sebagaimana sebatang besi pembakar daging disentap dari segumpal bulu yang basah; Malakulmaut pun mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya di tangan Malakulmaut walau sekelip mata sekalipun sehingga mereka meletakkannya dalam kain kasar yang tersebut; dan keluar pula dari roh itu bau yang busuknya seperti sebusuk-busuk bau bangkai yang ada di atas muka bumi. Kemudian mereka membawanya naik ke langit maka mereka tidak melalui (semasa membawanya) mana-mana kumpulan Malaikat melainkan kumpulan Malaikat itu berkata: “Roh yang jahat ini roh siapa?” Mereka menjawab:  “Roh Si anu anak si anu, ” (dengan menyebutkan seburuk-buruk namanya yang biasa dipanggil dengan nama-nama itu di dunia); (demikianlah halnya) sehingga berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang pertama, setelah itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya, tetapi tidak dibukakan baginya.

Kemudian Rasulullah s.a.w., membaca (ayat 40 Surah al-A’raf, ertinya):”.. Tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk syurga hingga unta masuk di lubang jarum…”. (Kemudian Baginda s.a.w., bersabda): “Lalu Allah `Azza wa Jalla berfirman kepada Malaikat: “Simpanlah suratan amal jahatnya di dalam sijjin (tempat simpanan surat amal jahat orang-orang yang berdosa), yang letaknya di bumi yang terkebawah sekali. Lalu dicampakkan rohnya ke situ….”

(Imam Ahmad, Abu Daud,  Al-Nasa’i dan Ibn Majah)

Terjemahan Hadis 61: Jld: 1 Bab Beriman dengan Hari Akhirat)

(1) Hanut: Ialah “Pachai” iaitu serbuk campuran dari benda-benda yang harum yang ditabur kepada mayat semasa dikapankan.

Kesimpulannya:

  • Janganlah Berkata-kata kosong ketika mengiringi Jenazah atau ketika mengkebumikan Jenazah sebaliknya ucapan yang baik-baik atau zikir kepada Allah itu terlebih baik.

  • Berdoalah seperti Rasulullah s.a.w. bersabda dengan ucapan supaya sahabat memohon perlindungan Allah dari azab kubur iaitu :

” اسْتَعِيذُوا بِاللَّهِ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ”

Ertinya:“Mintalah kamu perlindungan kepada Allah dari azab kubur”

Kita minta dengan ucapan:

“اعوذُ بِاللَّهِ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ”

  • Selalulah berdoa kepada Allah semoga kita mendapat pengakhiran yang baik.

  • Amalan yang kita lakukan sememangnya dan pastinya menentukan nasib kita disana

  • Allah adalah sebaik-baik tempat bergantung dan memohon perlindungan

  • Berdoalah, pohonlah keampunan dan rahmat belas kasihan kepada Allah di saat kita masih diberi tenaga, masa, kekuatan, dan kesempatan sebelum datangnya kepada kita satu masa yang tidak sempat lagi untuk kita memohon kepadaNya.




Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s